Tuesday, February 23, 2010

amarah

Mengawal nafsu amarah


Marah? Menyampah? Itu perkara biasa…dalam diri yg bernama ct asmah ni pun x terlepas dari sifat amarah….kekadang orang lain jadi mangsa…tapi aku lebih suka mendiamkan diri kalau ingin marah seseorang…sbb takut nanti lain yang jadi. Tapi bila dah marahkan seseorang sebab perbuatan mereka yg tak sepatutnya…aku yg rasa bersalah akhirnya…sebab aku terfikir, aku pun tak suka di marahi…jom kita sama-sama muhasabah diri agar dapat kawal amarah ni daripada menguasai diri dan akhirnya akan memakan diri sendiri….

Orang yang bijak, ialah mereka yang mampu mengawal dirinya (nafsunya) . Manakala mereka yang bodoh sombong itu, akan mengikuti segala kemahuan dan keinginan nafsunya sambil berangan-angan kosong. Sebab itu dalam satu hadis Rasulullah SAW memperingatkan bahawa peperangan kita melawan kaum kuffar itu masih dikira kecil dan mudah jika dibandingkan dengan perjuangan seseorang menentang nafsunya sendiri yang sentiasa berada bersamanya.

Jika dilihat, nafsu lebih menjurus kepada kemahuan, keinginan. Cuba fikir, kita marah seseorang kerana nafsu kita inginkan kita melepaskan rasa marah itu. Dengan nafsu juga manusia akan berlumba dan bersaing untuk mencapai sebarang kejayaan untuk dirinya. Apa yang menjadi isunya bila nafsu itu disalahgunakan bukan pada tempatnya. Sebab itu bila para sahabat bertanya Rasulullah,

"Adakah seorang yang melepaskan keinginan nafsunya pun mendapat pahala?"

Sabdanya: Apakah kamu tidak fikir sekiranya digunakannya nafsu tersebut pada tempat yang haram, bukankah seorang itu beroleh dosa? Jawab mereka, "Bahkan", Maka sabdanya lagi: begitulah juga sekiranya nafsu itu disalurkan menurut landasan yang dibenarkan, tentu ada baginya pahala.

Meskipun begitu, untuk membentuk nafsu yang mulia bukanlah satu tugas mustahil kerana nafsu itu sendiri tidak merujuk kepada sesuatu yang keji dan buruk. Al-Quran menyentuh tujuh martabat nafsu dan wajar bagi setiap orang mengenal pasti kategori nafsu yang mereka duduki ketika ini.

• Pertama, nafsu amarah yang dijelaskan Allah dalam firman-Nya yang bermaksud: “Dan Aku tidak membebaskan diriku (daripada kesalahan), kerana sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan, kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah Yusuf, ayat 53)
Sebenarnya martabat atau kedudukan nafsu ini adalah yang paling rendah dan keji di sisi Allah. Setiap perlakuannya hanya perkara yang dipandang keji oleh Allah. Di samping itu, ia amat sukar untuk mendekatkan diri kepada Allah.
Nafsu amarah sentiasa menyuruh ke arah kejahatan dan tidak lagi wujud perbezaan antara perkara baik dengan yang buruk. Begitu juga tidak timbul langsung perasaan duka atau sesal jika berlaku perbuatan jahat. Sebaliknya, perasaan gembira dan berpuas hati akan timbul akibat daripada melakukan kejahatan seperti yang diinginkan oleh nafsu jahat ini.

• Kedua ialah nafsu lawwamah seperti firman Allah yang bermaksud, “Dan Aku bersumpah dengan jiwa yang amat menyesali (akan dirinya sendiri).” (Surah al-Qiyamah, ayat 2)
Seseorang yang menduduki martabat nafsu ini akan mempunyai perasaan bahawa ia tidak patut melakukan perkara kejahatan dan kemaksiatan yang ditegah Allah. Jika kesalahan itu dilakukan juga, maka ia akan mencela dirinya dan amat menyesali atas perbuatannya.
Walau bagaimanapun, kekuatan nafsu itu belum memadai untuk menghindari seseorang daripada mengulangi perbuatan keji dan salah. Sebenarnya ia akan bergantung pada kekuatan imannya ketika berhadapan dengan keadaan yang menguji dirinya.

• Ketiga, nafsu mulhamah di mana seseorang yang menduduki martabat nafsu ini akan berusaha menghakis sifat keji (mazmumah) dan menggantikannya dengan sifat mulia (mahmudah).
Mereka kuat beriltizam untuk beribadat kepada Allah dan akan bertaubat nasuha atas segala dosa dilakukan sebelum ini. Sesalan yang dirasainya memang benar dan segala dugaan terhadap iman secara spontan menggerakkannya mencari perlindungan Allah.
Allah berfirman yang bermaksud:
“Dan (juga) orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain daripada Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu, sedang mereka mengetahui.” (Surah Ali ‘Imran, ayat 135)

• Keempat, nafsu mutma’innah yang dijelaskan Allah dalam firman-Nya yang bermaksud: “Wahai jiwa yang tenang. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredai-Nya. Maka masuklah ke dalam golongan hamba-Ku, dan masuklah ke dalam syurga-Ku.” (Surah al-Fajr, ayat 27-30)
Seseorang yang menduduki martabat nafsu ini akan suci dan bersih jiwanya. Kesucian jiwa itu diumpamakan sebagai kesucian jiwa orang solihin sama seperti kesucian jiwa bayi yang baru lahir. Martabat nafsu inilah yang mewujudkan ketenteraman dan ketenangan. Namun, ia hanya dikurniakan Allah kepada sesiapa yang diredai-Nya saja.

• Kelima, nafsu radhiah, nafsu mardhiyyah dan nafsu kamaliyyah. Ketiga-tiga nafsu ini adalah martabat yang semakin tinggi. Ia hanya boleh dicapai oleh mereka yang sudah mencapai martabat nafsu mutma’innah.
Pelbagai kelebihan dikurniakan Allah kepada mereka yang mampu sampai ke martabat tinggi ini. Tidak mustahil bagi sesiapa pun untuk mampu mencapai tahap tinggi asalkan berjaya memenuhi segala syarat ibadat, yakni segala elemen gabungan menjadikan insan ini bergerak secara bersama ke arah semata-mata mencari keredaan Allah.

Semua martabat nafsu diertikan sebagai sifat perlakuan naluri manusia mengikut tahap kesucian hati dan jiwanya dengan Allah. Jika nafsu itu kotor, maka rosaklah segala tindakan dan perlakuan seseorang. Sebaliknya, jika nafsunya bersih, maka segala tindakannya itu akan turut bersih dan baik.


Walauapapun, cubalah mengawal nafsu amarah sedaya upaya. Kadangkala amarah boleh membawa kepada kemusnahan. Tetapi kita juga perlu lihat dalam diri sendiri, mengapa seseorang itu melepaskan amarah kepada diri kita. Ada 2 sebab, iaitu kelalaian atau kesalahan kita dan sebab kedua orang itu memang panas baran. Bila kita di marahi, tentu ada sebab dan puncanya. Cuba renungkan dalam diri sendiri, kadangkala kita yang mengundang kemarahan orang lain atas kelalaian sendiri. Apapun, tepuk dada, tanyalah iman. Sama-samalah kita muhasabah diri sendiri sebelum menunding jari kepada orang lain sekadar ingin melepaskan kesalahan diri sendiri.
Wallahu’alam

Rujukan : http://nurjeehan.hadithuna.com




"kita tidak mampu menjadi orang lain tapi kita boleh menjadi orang yg lebih baik"