Sunday, August 30, 2009

kematian itu pasti

KEMATIAN




assalamualaikum...salam seindah kasih dan cintaNya,

Kematian tiada yang pasti bila dan di mana ia akan datang menjemput kita semua. Kematian itu pasti. Ia tidak akan terlewat walau sesaat pun…jika tiba masa dan tikanya. Aku menulis mengenai kematian kali ini kerana pagi sabtu, seusai sahur, aku menerima sms menyatakan salah seorang pegawai di Pusat Kawalan Kualiti telah pulang menemui Penciptanya. Rasanya begitu terkejut kerana seingat aku dia tidaklah sakit tenat. Cuma tahu dia di masukkan ke hospital..dan agak lama di sana (mungkin). Aku tidaklah begitu rapat dengan arwah, cuma pernah membantunya menyiapkan projek sarjana di makmal. Di situ aku mengenali arwah..orangnya begitu teliti dalam kerja harian. Di bulan Ramadhan yang penuh berkat dan mulia ini, arwah di panggil pulang. Berehatlah dengan aman di sana...semoga rohmu di tempatkan di kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh...amin.......

Ingatlah, kunjungan malaikat maut adalah satu kepastian. Dan ingatlah juga, kita adalah musafir di negeri sementara ini…dan pastinya satu saat kita akan sampai di tempat yang di tuju..penyudah dalam perjalanan ini...iaitu akhirat yang kekal abadi.

Wahai sahabatku, ingatlah, apabila datangnya malaikat maut menemuimu, maka berakhirlah usia kehidupanmu di dunia ini, terputuslah amalanmu dan diipatlah lembaran catatan amalanmu. Oleh itu, engkau tidak boleh lagi menambah amal kebajikan walau sedikitpun. Engkau tidak mampu lagi mengerjakan solat dua rakaat, tidak lagi mampu membaca walau satu ayat pun dari kitab suci Allah, dan mampu lagi bertasbih, tahmid, tahlil, bertakbir, dan beristighfar walau hanya sekali. Engkau juga tidak mampu lagi berpuasa , bersedekah mahupun berbuat kebaikan dengan tetangga. Masamu sudah tamat, tiada talian hayat untuk kamu menambahkan amalanmu yang akan di bawa pulang ke negeri abadi…sekarang adalah masa perhitungan atas apa yang kamu kumpul untuk di bawa pulang menghadap Allah Yang Maha Kuasa…

“(Demikianlah keadaan orang yang kafir itu), hingga apabila datang kematian kepada seseorang dari mereka, dia berkata : “Ya Tuhanku kembalikanlah aku (ke dunia), agar aku berbuat amal yang soleh terhadap yang telah aku tinggalkan. Sesekali tidak. Sesungguhnya itu adalah perkataan yang diucapkannya saja. Dan di hadapan mereka ada dinding sampai hari mereka dibangkitkan”(Surah Al-Mu’minuun : Ayat 99-100)

Oleh itu sahabatku, bagaimana persiapan kita untuk menyambut kedatangan malaikat maut? Persiapan untuk perjalanan pulang ke negeri abadi sana? Persiapan alam kubur? Persiapan untuk menemui sang Pencipta..Yang Maha Kuasa..Tuhan Yang Esa? Sudah siap siaga kah kita semua? Adakah kita ini masih belum sedar dalam ulitan keindahan duniawi yang sementara? Walhal kematian senantiasa memanggil kita setiap waktu. Kenikmatan duniawi membuatkan kita alpa dan leka. Kita leka satu saat, kita pasti pulang, kerana kita di sini hanya menumpang dan musafir yang mana pasti akan kembali ke tempat asal kita. Apakah bekalan yang kita bawa pulang untuk menemui Sang Pencipta? Apakah kita sudah melaksanakan tanggungjawab kita sebagai khalifah di bumi ini? Apakah kita telah menjalankan kewajiban kita sebagai hamba Allah di dunia ini? Semua itu akan di perhitungkan, di hisab di mahkamah Allah nanti. Bagaimanakah kita amanah menjalankan tanggungjawab yang telah di berikan kepada kita oleh Allah.

Dalam al-Quran ada menyatakan bahawa kematian itu hanyalah ketiadaan kehidupan di muka bumi ini. Namun, ianya merupakan permulaan kehidupan di satu alam lain yang kekal abadi.

“janganlah kamu mengira bahawa orang-orang yang gugur di jalan Allah itu mati: bahkan mereka itu hidup di sisi Tuhannya dengan mendapat rezeki” (Surah ali-Imran : Ayat 169)

“Dan janganlah kamu mengatakan terhadap orang-orang yang gugur di jalan Allah, (bahawa mereka itu) mati, bahkan sebenarnya mereka itu hidup. Tetapi kamu tidak menyedarinya” (Surah al-Baqarah : Ayat 154)


Dalam al-Quran juga ada menyebut perihal keadaan orang-orang kafir ketika menghadapi kematian :

“Kalau kamu melihat ketika para malaikat mencabut jiwa orang-orang yang kafir seraya memukul muka dan belakang mereka (dan berkata) : “Rasakanlah olehmu seksa neraka yang membakar’, nescaya kamu akan merasa ngeri” (Surah al-Anfaal: Ayat 50)

“Alangkah dahsyatnya sekiranya kamu melihat di waktu orang-orang yang zalim berada dalam tekanan-tekanan sakaratul maut, sedang para malaikat memukul dengan tangannya sambil berkata, 'Keluarkanlah nyawamu! Di hari ini, kamu dibalas dengan siksaan yang sangat menghinakan karena kamu selalu mengatakan terhadap Allah perkataan yang tidak benar, dan karena kamu selalu menyombongkan diri terhadap ayat-ayat-Nya
(Surah Al-An’aam: Ayat 93)


Bagaimanakah kita nanti saat tibanya kematian ini? Bilakah ia akan datang menjemput? Kematian adalah rahsia Allah. Kita tidak akan tahu bila dan di mana ia akan datang. Oleh itu persiapkanlah diri menghadapi saat-saat kedatangan malaikat maut ini. Berusahalah kamu, bekerjalah kamu seolah-olah kamu akan hidup 1000 tahun lagi. Dan beramallah kamu bersungguh-sungguh seolah kamu akan mati esok hari. Kerana kita tidak pasti bila nyawa ini akan terpisah dari jasad. Dalam keseronokkan mengejar kenikmatan dan keindahan duniawi yang penuh mehnah dan dugaan ini….janganlah kita lupa, kita hanya menumpang di sini, yang masih perlu meneruskan pencarian bekalan dan persiapan untuk pulang menemui Tuan Yang Kuasa satu saat nanti. Hidup di dunia ini hanya sementara dan tiada yang kekal di dunia ini…akhirat jangan di lupa. Jadilah hamba Allah yang benar-benar soleh dan solehah dalam mengejar kasih dan cintaNya yang kekal abadi. selalulah mengingati kematian kerana di situ kita akan sentiasa sedar bahawa kita tidak lama di sini...pergunakanlah masa dan waktu yang ada sebaiknya, dalam mengumpul ‘harta’ untuk di bawa dalam perjalanan ke negeri abadi.
Sama-samalah kita muhasabah diri dalam mencari siapa kita di sisiNya...
Wallahu’alam



“Tiap –tiap yang bernyawa akan merasakan mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sajalah disempurnakan pahalamu. Barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga maka sesungguhnya ia telah beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan” (Surah al-Imran: Ayat 185)

Sunday, August 23, 2009

TAZKIRAH REMAJA : REMAJA TERJEBAK PAKAIAN HALAL, HARAM

HARI ini nak pakai baju mana ya? Ini soalan yang kita biasa tanya diri kita jika nak keluar bekerja, membeli-belah, menziarahi seseorang dan majlis tertentu, sama ada lelaki atau perempuan, remaja atau yang berusia.

Biasanya kita memilih pakaian yang paling kita suka. Dalam Islam ketika memilih pakaian, kita ada identiti tersendiri.

Semuanya kena ambil kira, soal fiqah dan syariat. Sebab pakaian yang kita pakai sangat kuat terikat dengan keyakinan dan iman dalam hati kita. Malah, pakaian adalah lambang keimanan.

Sebabnya Allah sudah berfirman dalam al-Quran yang bermaksud: "Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan beriman supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar) cara demikian lebih sesuai untuk mereka dikenali (sebagai perempuan yang baik) maka dengan ini mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihi." (al-Ahzab: 59)

Rupanya soal pakaian ada disebut kod dan etikanya dan panduan ini mesti diikuti semua Muslimah.

Berpakaian tak boleh ikut suka kita saja sebab kita hamba Tuhan. Sebagai hamba kena ikut tauke dan kalau tidak ikut juga dah kira lawan tauke.

Kali ini saya ingin menyentuh mengenai pakaian remaja yang nampaknya sudah tidak mengikut kod dan etika al-Quran.

Adik-adik remaja di luar sana sudah tidak menghiraukan lagi halal haram dalam pemakaian, asalkan mereka nampak bergaya, menarik, selesa 'kononnya' dan mengikut gaya fesyen terkini.

Selain pakaian yang jelas menjolok mata, ramai juga di kalangan remaja kita yang berpakaian '2H' iaitu 'Halal' tetapi 'Haram'.

Ini amat ketara jika kita perhatikan di sekeliling kita, ramai remaja yang bertudung. Apabila sekali lihat, memang nampak mereka menutup aurat.

Bagaimanapun, jika diperhatikan, ramai di kalangan mereka yang berpakaian ketat dan tidak kurang yang berlengan pendek. Pakaian lengan 'three quarter' (tiga perempat) paling glamor dan popular di kalangan remaja bertudung.

Suatu ketika dahulu, pakaian sedemikian begitu mengaibkan dan memalukan, namun kini seolah-olah ia menjadi pakaian yang dialu-alukan.

Mana tidaknya, pakaian sedemikian banyak bersangkutan dan berampaian di gedung pakaian di negara kita ini. Pelbagai fesyen baru hadir bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Terdapat juga pakaian bersaiz kecil sehingga tidak keterlaluan jika kita katakan sekarang begitu sukar untuk membezakan antara pakaian kanak-kanak dan remaja.

Sebilangan daripada remaja kita juga lupa atau tidak tahu jantina mereka sendiri sehingga si lelaki memakai pakaian perempuan, sementara perempuan pula sebaliknya.

Ustaz harap adik-adik remaja berhentilah daripada kebiasaan ini kerana dilaknat Allah. Ini jelas dinyatakan dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

"Sesungguhnya Allah melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki."

Ada pula yang berkata: "Berpakaian menutup aurat dan bertudung, nanti tak cantik." Siapa kata tak cantik kalau bertudung, bahkan kelihatan manis, beradab, bersih dan ada gaya tersendiri, sekali gus membezakan antara Muslimah dan bukan Islam.

Ada pula yang berkata, rambut adalah 'mahkota', jadi kenalah tunjuk. Kata-kata itu sangat tidak betul kerana jika rambut mahkota, kenalah simpan baik-baik.

Mengapa kena simpan? Ini kerana raja dan permaisuri pun hanya pakai mahkota di tempat tertentu saja, tak dibawanya ke pasar, kelab malam, padang dan lain-lain tempat, malah di tempat tertentu dan orang tertentu sahaja.

Tunjuklah mahkota itu pada suami tercinta sahaja, bukannya dikongsi dengan orang lain.

Ada pula yang berkata 'ikut fesyen moden dengan seksi dan terdedah senang pikat lelaki dan dapat kekasih.'

Aduhai remaja, jangan rendahkan martabat kita sebab bimbang nanti lelaki akan mempermainkan anda. Kerap berlaku kes 'dapat manis sepah dibuang' iaitu jadi bahan seronok saja.

Kalau dapat kahwin pun tak lama putus di tengah jalan. Rumah tangga dibina akhirnya tinggal tangga sahaja. Ingatlah, pakaian ahli syurga ialah menutup aurat.



*ARTIKEL INI ADALAH DI COPY PASTE DARIPADA HARIAN METRO (www.hmetro.com.my)
DALAM RUANGAN TAZKIRAH REMAJA...SEMOGA IANYA DAPAT MENJADI PANDUAN DAN PERKONGSIAN ILMU BUAT KITA SEMUA...INSYAALLAH...TERIMA KASIH HARIAN METRO...

wallahu'alam

SEBAIK-BAIK PERHIASAN DUNIA ADALAH WANITA SOLEHAH

Saturday, August 22, 2009

SELAMAT DATANG YA RAMADHAN

Ahlan wasahlan ya ramadhan. Bulan ramadhan merupakan bulan di mana Allah melimpahkan pelbagai ganjaran pahala kepada hambaNya. Ibadah puasa merupakan rukun Islam yang mana ianya wajib ke atas semua hamba Allah. Orang yang berpuasa juga dianugerahkan Allah kedudukan yang tinggi di sisiNya.

Puasa merupakan bulan yang penuh keberkatan di mana pintu syurga dibuka seluas-luasnya dan pintu rahmat menaungi seluruh hamba Allah yang beriman. Allah juga telah menjanjikan ganjaran pahala yang besar bagi hambaNya yang berpuasa dengan ikhlas keranaNya.

Bagi mereka yang mengerjakan ibadah puasa, mereka dikurniakan dua bentuk kegembiraan. Rasulullah s.a.w bersabda : ‘Orang yang berpuasa memiliki dua kegembiraan yang dia bergembira dengannya; iaitu apabila berbuka dia bergembira, apabila bertemu Tuhannya dia bergembira dengan puasanya’ (Hadis Riwayat Iman al-Bukhari.)

Kegembiraan pertama dapat dirasai oleh mereka yang berpuasa bilamana ketika waktu berbuka. Ini kerana sepanjang hari menahan dari lapar dan dahaga, bila tiba waktu berbuka, bermakna kita telah berjaya menyempurnakan ibadah tersebut. Kegembiraan kedua pula adalah apabila seseorang yang telah menyempurnakan ibadah puasanya dapat bertemu Allah SWT di akhirat kelak.

Di syurga terdapat salah satu pintu bernama Al-Rayyan. ‘Al-Rayy’ bermaksud melepaskan dahaga. Al-Rayyan ini dikhususkan untuk mereka yang berpuasa. Rasulullah s.a.w bersabda : ‘sesungguhnya di syurga terdapat pintu yang dinamakan al-Rayyan. Orang-orang yang berpuasa masuk melalui pintu itu pada hari kiamat, tidak ada seorang pun masuk melalui pintu ini kecuali mereka (iaitu orang yang berpuasa)’.

Mulut orang yang berpuasa juga pasti mengeluarkan bau yang kurang enak, namun ianya lebih baik dari bau kasturi di sisi Allah SWT.

Rasulullah s.a.w bersabda : “Demi Zat yang jiwaku berada di tangan-Nya, bau mulut orang yang berpuasa lebih baik di sisi Allah SWT daripada aroma minyak kasturi”- Hadis Riwayat Iman Bukhari

KEISTIMEWAAN RAMADHAN

Bulan Ramadhan merupakan bulan penuh rahmat dan keberkatan. Allah melimpahkan pelbagai ganjaran pahala buat hambaNya yang beriman dan bertaqwa. Bulan ini juga syaitan dan jin di rantai supaya ia tidak mengganggu orang yang beriman. Namun, masih ramai yang berterusan melakukan maksiat dan kejahatan di bulan Ramadhan ini. Walhal syaitan yang dilaknati Allah telah dirantai. Ini kerana dalam diri manusia itu sendiri sudah sebati dengan kemungkaran yang dilakukan, yang sentiasa terdorong untuk melakukan kejahatan. Wallahu’alam

Pada malam Ramadhan terdapat satu malam yang lebih baik dari 1000 bulan, iaitu malam lailatulqadar.

Firman Allah SWT :
‘sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-quran) itu pada malam al-qadar. Apakah cara yang membolehkan engkau mengetahui kebesaran lailatuqadar itu? Lailatulqadar adalah malam yang lebih baik berbanding 1000 bulan. Pada malam itu, para malaikat dan Jibril turun dengan izin Tuhan mereka membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlaku pada malam berikutnya). Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar’ –Surah al-Qadar: ayat 1-5

Lailatulqadar juga bermaksud malam penetapan segala urusan yang bakal berlaku pada tahun berikutnya. Allah berfirman yang bermaksud :

“sesungguhnya Kami telah menurunkan al-Quran itu pada malam yang penuh berkat. (Kami berbuat demikian) kerana sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran (agar hamba-hamba Kami tidak di timpa azab ). (Kami menurunkan al-Quran) pada malam yang berkat itu, di samping menjelaskan (kepada malaikat) semua perkara yang mengandungi hikmah serta takdir yang akan berlaku”-Surah al-Dukhaan:Ayat 3-4

Rasulullah saw bersabda: ‘Carilah lailatulqadar pada malam yang ganjil daripada sepuluh malam terakhir di bulan Ramadhan’ –Hadis Riwayat Muslim.


AMALAN SUNNAH

Berpuasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga. Seseorang itu juga perlu meninggalkan perbuatan dan perkataan yang keji dan dimurkai Allah.

Orang berpuasa disunnahkan meninggalkan perbuatan yang lagha(sia-sia) seperti mengumpat, bercakap perkara yang tidak elok, mencerca orang lain dan sebagainya. Elakkan daripada bercakap bohong dan perkara-perkara yang boleh mengundang ‘kerosakkan’ pada puasa. Berpuasa bererti kita menahan diri dari melakukan perkara yang sia-sia ini. Banyakkan berzikir dan berdoa untuk menahan diri daripada bisikan yang boleh mendorong kearah perbuatan yang sia-sia ini.

Orang berpuasa juga digalakkan bertadarus (membaca dan mempelajari) al-Quran. Perbanyakkanlah membaca al-Quran, dan jika berkesempatan, khatamlah al-Quran di bulan yang penuh keberkatan ini. Perbuatan ini dapat mengelakkan kita daripada melakukan perkara yang sia-sia, malah dapat mempertingkatkan lagi pahala puasa kita. Insyallah.

Berterawih dan beriktikaf. Hidupkanlah malam Ramadhan dengan solat terawih. Perbanyakkanlah amalan di bulan yang penuh berkat ini kerana Allah membuka seluas-luasnya pintu Rahmat (kasih sayang), dan pintu keampuna. Allah juga melimpahkan ganjaran pahala kepada hambaNya tanpa batasan. Oleh itu, perbanyakkanlah zikir, berdoa, solat sunat serta memohon keampunan dari Allah.



BERSAHUR

Sabda Rasulullah saw: “Bersahurlah kamu semua kerana sesungguhnya pada waktu makan sahur itu terdapat keberkatan”-Hadis Riwayat al-Bukhari

Antara lain, bersahur adalah untuk membezakan antara ibadah puasa orang Islam dengan puasa orang Yahudi dan Kristian (ahli kitab). Sabda Rasulullah saw: “ Pemisah (yang membezakan) antara puasa kita dan puasa ahli kitab adalah makan sahur”- Hadis Riwayat al-Tirmizi

Oleh itu, janganlah kamu meninggalkan makan sahur walaupun cuma meneguk seteguk air, kerana di dalam terdapat keberkatan. Kita di benarkan bersahur sehingga fajar terbit, iaitu sehingga azan subuh dilaungkan.

Firman Allah SWT, “Makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam (kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib)” – Surah al-Baqarah:Ayat 187


BERBUKA PUASA MENGIKUT SUNNAH

Rasulullah saw mengajar umatnya beberapa adab yang perlu dititikberatkan ketika berbuka puasa :

• Membaca doa yang thabit daripada Nabi saw

Antara waktu yang mustajab untuk berdoa adalah ketika berbuka puasa.
Sabda Rasulullah saw : “sesungguhnya doa yang tidak ditolak bagi orang berpuasa itu ialah ketika dia berbuka”-Hadis Riwayat Ibn Majah
Maka berdoalah apa sahaja, insyaallah, Allah Maha Mendengar.

• Menyegerakan berbuka puasa

Disunnahkan menyegerakan berbuka puasa.utamakan berbuka puasa daripada sibuk membaca al-Quran ataupun berzikir kerana perintah Nabi saw: ‘ Manusia akan sentiasa berada dalam kebaikan selagi mereka sentiasa menyegerakan berbuka puasa’-Hadis Riwayat al-Bukhari

• Berbuka puasa dengan kurma atau air

Berbuka puasa dengan tamar atau air merupakan sunnah Nabi saw. Anas bin Malik r.a berkata : ‘Rasulullah saw berbuka puasa sebelum solat (maghrib) dengan rutab. Jika tiada rutab, baginda akan berbuka dengan tamar atau jika tiada tamar, baginda akan meneguk beberapa teguk air’-Hadis Riwayat Imam al-Tirmizi

• Menyegerakan solat maghrib

Setelah selesai berbuka puasa, bersegeralah menunaikan solat maghrib. Sabda Rasulullah saw: “apabila seseorang dihidangkan makan malam sedangkan solat (jemaah) telah didirikan, utamakan makan malam. Janganlah seseorang itu tergopoh gapah menghabiskan makanan itu sehingga dia selesai dalam keadaan tenang”

Mereka di galakkan makan makanan yang terhidang terlebih dahulu kerana ia mungkin boleh mengganggu kosentrasi hati dan fikiran dan kekhusyukkan beribadah.

• Berbuka puasa secara perlahan

Janganlah makan dengan gelojoh hanya kerana seharian kita menahan diri dari makan dan minum. Juga janganlah jadikan waktu berbuka puasa sebagai waktu ‘membalas dendam’ dengan hidangan yang berlebihan. Makanlah seadanya sekadar ingin mengisi perut yang ‘berpuasa’, bukan makan berlebihan sehingga tidak mampu bergerak kerana kekenyangan. Berpuasa melatih diri kita bersabar dan bertakwa. Janganlah merosakkan pahala berpuasa hanya kerana kekenyangan tika berbuka sehingga tidak mampu menunaikan solat.

• Menjamu makan bagi orang yang berpuasa

Dianjurkan mengadakan majlis berbuka puasa untuk menjamu mereka yang berpuasa terutama orang miskin dan anak-anak yatim.

Firman Allah SWT :
“Mereka juga memberi makan sebarang makanan yang dihajati dan disukainya kepada orang miskin, anak yatim dan tawanan (sambil berkata dengan lidah dan hati): Sesungguhnya kami memberi makan kepada kamu semata-mata kerana Allah dan kami langsung tidak inginkan sebarang balasan daripada kamu atau ucapan terima kasih”- Surah al-Insaan:Ayat 8-9


Insyaallah, dengan rahmat dan ganjaran pahala yang diberikan oleh Allah di bulan penuh keberkatan ini akan mampu mendidik kita menjadi hamba Allah yang benar-benar beriman dan bertakwa, bukan hanya di bulan puasa, juga impaknya dapat di lihat selepas itu dan juga berterusan sebati dalam diri sendiri. Rebutlah peluang untuk melakukan ibadah di bulan Ramadhan ini kerana pintu rahmat di buka seluas-luasnya. Sesungguhnya Allah itu Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Wallahu’alam




REBUTLAH PELUANG GANJARAN PAHALA DI DALAM BULAN YANG MULIA INI. DEKATKANLAH DIRI DENGAN SANG PENCIPTA YANG MAHA AGUNG. BERIBADAHLAH SEOLAH-OLAH KAMU AKAN DIJEMPUT PULANG ESOK HARI....RAMADHAN KALI INI, TAHUN DEPAN BELUM PASTI BERTEMU KEMBALI. IMARAHKAN BULAN RAMADHAN DENGAN BERPUASA DAN PERBANYAKKAN AMALAN YANG MENDEKATKAN DIRI KITA PADA DIA YANG MAHA ESA.....

Tuesday, August 18, 2009

PENGAT LABU

assalamualaikum....

hehehehe..saja je..hari ni nak tulis pasal pengat labu. dah seharian keje..perjalanan yang agak jauh (petaling jaya-puchong)..x berapa jauh cuma kalau sesak kat tol sunway memang terlewat sikit smp umah...lama-lama dah biasa dengan kesesakan ni. nak buat macamana...

sampai kat traffic light tmn putra perdana, tetiba teringin nak mkn pengat labu. tapi aku tak pernah buat benda ni sepanjang hidup aku. hehehhehe,jarang ke dapur. tapi pengat pisang, sira labu pernah le buat. tapi labu ni memang makanan kegemaran, terutama sira labu...huhuuhuhu..biar sejuk dalam peti ais jap, then makan..sedapnya. orang kelantan kan suka makan kuih yang manis.....

balik je..letak barang, beg, solat asar...aku terus ke dapur. kupas labu...then potong kiub..dah siap bersihkan...masuk je dalam periuk. masukkan sekali sagu ( aku suka letak sagu banyak2), daun pandan (untuk bau), letak air sikit je (sbb nti air labu akan kuar).

biarkan seketika (tutup periuk), sampai sagu dah nampak kembang dan labu dah lembut, masukkan santan ( suka ati ler), sikit garam dan gula melaka. kacau dan tunggu mendidih...masak......

tapi aku buat termanis sikit sbb letak banyak sangat gula melaka. aku x sukat pakai sudu..sbb gula melaka tu memang dah hancur..aku main campak je dlm periuk. tapi ok, x manis sangat le...sebab nanti nak makan dengan roti. along kalau makan pengat mesti kena dengan roti....so, malam ni makan pengat labu dengan roti je ler...
hehehehhehehe....susah tau nak tengok aku masak sbb memang jarang masak...hidup orang bujang memang ler..x masak pun xpe...xde orang marah..hehehehhe






Monday, August 17, 2009

SOLAT SUNAT DHUHA

Sabda Rasulullah yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a :
Bermaksud: "Sesiapa yang mengerjakan Solat Dhuha, akan diampuni dosanya oleh Allah, sekalipun dosanya itu sebanyak buih dilautan."
Antara ibadat sunat yang dianjurkan dan menjadi amalan Rasullullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam sendiri ialah sembahyang sunat Dhuha. Banyak hadis yang mengalakkannya dan menyatakan keutamaannya,

Antaranya dalam riwayat Abu Hurairah katanya:
Maksudnya :"Kekasihku Rasullullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam telah berwasiat kepadaku tiga perkara, aku tidak meninggalkannya, iaitu ; supaya aku tidak tidur melainkan setelah mengerjakan witir, dan supaya aku tidak meninggalkan dua rakaat sembahyang Dhuha kerana ia adalah sunat awwabin, dan berpuasa tiga hari daripada tiap-tiap bulan"
( Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim )


Dalam riwayat yang lain Rasullullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam pernah bersabda yang maksudnya : " Pada tiap-tiap pagi lazimkanlah atas tiap-tiap ruas anggota seseorang kamu bersedekah; tiap-tiap tahlil satu sedekah, tiap-tiap takbir satu sedekah, menyuruh berbuat baik satu sedekah, dan cukuplah ( sebagai ganti ) yang demikian itu dengan mengerjakan dua rakaat sembahyang Dhuha ."
( Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim )


Waktu sembahyang Dhuha ialah dari naik matahari sampai sepenggalah dan berakhir di waktu matahari tergelincir tetapi disunatkan dita'khirkan sehingga matahari naik tinggi dan panas terik.

Cara menunaikannya pula adalah sama seperti sembahyang-sembahyang sunat yang lain iaitu dua rakaat satu salam. Boleh juga dikerjakan empat rakaat, enam rakaat dan lapan rakaat. Menurut sebahagian ulama jumlah rakaatnya tidak terbatas dan tidak ada dalil yang membatasi jumlah rakaat secara tertentu, sebagaimana sebuah hadis yang diriwayatkan oleh 'Aisyah bermaksud :"Adalah Nabi Sallallahu 'alaihi wasallam bersembahyang Dhuha empat rakaat dan menambahnya seberapa yang dikehendakinya."
(Hadis riwayat Ahmad, Muslim dan Ibnu Majah)

Niat sembahyang Dhuha ialah :

Ertinya : " Sahaja aku sembahyang sunat Dhuha dua rakaat kerana Allah Taala


Doa’ solat Dhuha ialah:

Maksudnya : " Ya Allah, bahawasanya waktu Dhuha itu waktu DhuhaMu, kecantikan itu ialah kecantikanMu, keindahan itu keindahanMu, kekuatan itu kekuatanMu, kekuasaan itu kekuasaanMu dan perlindungan itu perlindungan Mu. Ya Allah jika rezekiku masih diatas langit, turunkanlah dan jika ada di dalam bumi, keluarkanlah, jika sukar mudahkanlah, jika ia (dari yang) haram maka sucikanlah, jika masih jauh dekatkanlah, berkat waktu Dhuha, Keagungan, Keindahan, Kekuatan dan Kekuasaan Mu, limpahkanlah kepada hamba-hamba Mu yang saleh ."

Solat sunat dhuha adalah solat sunat untuk meminta semoga Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang akan memurahkan dan melapangkan rezeki kita. Semoga tiap kerja yang dilakukan akan dipermudahkanNya dan diberkatiNya. Jadikan ia amalan harian. Insyaallah, lakukanlah tiap perkara itu secara istiqomah, semoga Dia akan sentiasa melindungi dan merahmati kita semua. Jika dilihat, susahnya ingin mencuri sedikit waktu kerjamu untuk melakukan solat sunat dhuha. Walhal ianya hanya sekejap saja…sekadar 2 rakaat. Begitulah kita manusia, suka berkira waktu dan masa bila ingin melakukan sesuatu yang tidak nampak hasilnya. Allah itu suka pada hamba yang sentiasa mencari dan bergantung harapan padaNya. Mengaku diri hamba Allah yang mengasihiNya..tapi agak berkira untuk ‘berjumpa’Nya seketika dalam sujudmu. Dekatkanlah diri pada Kekasih hati..kerana Dia Pencipta, Tuan tempat di mana kita hanya menumpang di bumiNya ini…itulah tanda kita bersyukur padaNya dengan sentiasa mencari peluang untuk sentiasa merintih kerinduan dan pengharapan padaNya Yang Maha Esa…

Insyaallah, marilah sama-sama kita berubah. Manusia perlu berubah untuk menjadi lebih baik. Hanya kita mampu merubah nasib dan cara hidup kita. Tiap apa yang dilakukan secara istiqomah dan ikhlas hanya kerana Allah…walaupun berat, keikhlasan itu akan menjadi satu kekuatan dan akan menjadi mudah di akhirannya…malah kemanisannya akan terasa akhirnya.
Wallahu'alam




"PANDANGLAH KEHIDUPAN DENGAN PANDANGAN CINTA DAN OPTIMIS, SEBAB KEHIDUPAN ADALAH HADIAH DARI ALLAH UNTUK SELURUH MAKHLUKNYA"

Sunday, August 16, 2009

permata yang di cari

Permata Yang Dicari
Album : Insan Istimewa
Munsyid : De Hearty
http://liriknasyid.com

Hadirnya tanpa kusedari
Menggamit kasih cinta bersemi
Hadir cinta insan padaku ini
Anugerah kurniaan Ilahi

Lembut tutur bicaranya
Menarik hatiku untuk mendekatinya
Kesopanannya memikat di hati
Mendamaikan jiwaku yang resah ini

Ya Allah
Jika dia benar untukku
Dekatkanlah hatinya dengan hatiku
Jika dia bukan milikku
Damaikanlah hatiku
Dengan ketentuan-Mu

Dialah permata yang dicari
Selama ini baru kutemui
Tapi ku tak pasti rencana Ilahi
Apakah dia kan kumiliki
Tidak sekali dinodai nafsu
Akan kubatasi dengan syariat-Mu
Jika dirinya bukan untukku
Redha hatiku dengan ketentuan-Mu

Ya Allah
Engkaulah tempat kubergantung harapanku
Kuharap diriku sentiasa di bawah rahmat-Mu

Lagu : Fahmi (o.p. DeHearty Publishing / s.p. NAR Publishing)
Lirik : Nurul Uyun Abdul Aziz (o.p. DeHearty Publishing / s.p. NAR Publishing)





wahai wanita yang solehah, jangan risau akan jodohmu kerana muslimin yang bijaksana itu, tidak akan terpaut pada wanita hanya pada kecantikkan atau lirikan senyuman, pada bicara manja yang menggoda, pada pujuk rayu seorang wanita yang meruntuhkan imannya. sesungguhnya lelaki itu adalah pemimpin kepada wanita. Andai belum sampai jodohmu, anggaplah bahawa lelaki yang kamu nantikan itu sedang membina sahsiah kepimpinannya bagi memimpin dirimu. Kerana pada wanita itu pasti ada kekurangannya dan lelaki yang benar-benar layak pasti hadir untuk melengkapi kekuranganmu itu.

Saturday, August 15, 2009

H1N1

artikel ini di copy and paste daripada satu email yg diterima dari seorang sahabat drp sahabat drp sahabatnya yang lain (banyak benor sahabatnya...maklum ler forward je email)..tapi sekadar ingin berkongsi isi email yang diterima. insyaallah, yang elok jadikan panduan, yang tak elok jadikan sempadan dan peringatan. Tulisan artikel ini di copy bulat-bulat dari tuan yang asal....hehehe...10q


H1N1 boleh merebak melalui udara dan cecair badan seperti bersin, batuk dan bercakap kuat. Vaksin untuk H1N1 masih tiada. Kalau hanya simtom, KKM akan bagi ubat flu sahaja. Jika comfirm ada H1N1 akan dimasukkan ke wad dan barulah di beri vaksin anti viral. Anti viral hanya melambatkan penularan tetapi tidak menjamin tak kena. Orang awam tidak dibenarkan sama sekali mengambil suntikan antiviral. Sebab?....dalam dunia hanya ada 2 jenis antiviral. Jika semua orang ambil...automatik jika virus2 baru akan datang mutasi dan akan lali dari ativiral tersebut. jadi amat2 berbahaya jika ambil antiviral.
Jangkitan tidak mengenal golongan. Semua boleh dijangkiti. Cuma kekuatan antibodi badan sahaja yg mampu menghasilkan anti virus ini selepas 7 hari dari proses mulanya pengeraman.

Cuma ada indvidu-individu yg berisiko kematian lebih tinggi seperti ibu mengandung, ibu baru bersalin (lemah lagi badannya), gemuk, darah tinggi, kecing manis, jantung dll.

Topeng perak boleh membantu menghalangkan kita menyedut secara langsung cairan yg dilepaskan melalui batuk, besin dan bercakap kuat.. Lebih baik buka tingkat dari duduk dalam tertutup.

Virus wabak infuenza ini di bahagi kepada 3:

1. Seasonal Influenza....ini virus antara manusia ke manusia. Beberapa dekat ( 10 tahun satu dekat) ianya akan berulang. Ini virus nak senang cakap..datang dari manusia sendiri.

2. Avian Influenza ..disebabkan alam semula jadi..menjangkiti haiwan seperti burung. Kadangkala boleh mengjangkiti manusia.

3. Swine Ifluenza....disebabkan alam semuladi seperti virus yg terdapat dari binatang itu sendiri seperti khinzir. Kadangkala boleh mengjangkiti manusia.

4. Pendemic Influenza...ianya sebenarnya gabungan dari ketiga-tiga di atas. Ia virus baru yg mutasi. Tak dapat dari khinzir secara direct..ianya berubah jadi virus baru.

(sekarang ni H1N1 tahap pandemic influenza)

macam di beritakan sebelum ni, hanya 0.1% atau 0.5% saja 'peluang' untuk manusia biasa meninggal akibat H1N1. Manusia biasa ini merujuk pada manusia yang tiada komplikasi lain, iaitu sihat tanpa penyakit-penyakit kronik yang lain.


Realitinya ialah kita tidak akan MAMPU untuk menyekat wabak (pandemic) selsema babi ini dari merebak. Apa yang manusia mampu buat HANYA memperlahankan kadar ia merebak (rate of infection).

Influenza A adalah wabak yag merebak melalui udara (airborne) apabila sesorang itu bersin atau batuk misalnya. Ia juga boleh merebak melalui sentuhan fizikal apabila mana-mana permukaan yang dicemari 'droplet' mengandungi virus disentuh pula oleh tangan kita. Virus akan berjangkit selepas kita menggunakan tangan tercemar tersebt untuk menyentuh kawasan hidung dan mulut. H1N1 BUKAN selsema bermusim atau 'seasonal flu'.

Masalahnya ialah vektor yang 'mengangkut' penyakit dari satu tempat ke satu tempat yang lain iaitu manusia.

Kalau vektor penyakit adalah haiwan seperti serangga atau unggas, kita boleh kemampuan untuk mengesan, mengawal dan memusnahkan mereka tanpa banyak masalah. Manusia ni lain pulak halnya. Manusia memiliki kecerdasan dan daya imaginasi. Mereka boleh bergerak dari satu koodinat ke satu koodinat dengan pantas dan berkesan.

Setakat ini kita hanya mampu letak kamera 'thermal-imaging' (mengesan suhu tinggi/demam pada badan manusia) di pintu-pintu masuk sempadan. tetapi hakikatnya TIADA NEGARA di dunia ini mampu mengawal sempadan masing-masing 100 % berkesan.

Kita juga boleh menutup tempat-tempat awam seperti pusat pengajian tinggi, pejabat awam dan sebagainya, tetapi ini boleh melumpuhkan struktur sosio-ekonomi negara jika dilakukan berterusan.

Kebanyakan orang pula kemungkinan besar akan tidak mengendahkan simptom-simptom awal influenza A kerana ia sama dengan selsema biasa (demam, letih, sakit urat, hidung tersumbat dan sebagainya).

Ciri-ciri tamadun moden juga menyumbang kepada kepantasan H1N1 merebak. Sistem pengangkutan/telekomunikasi yang cekap, penempatan urban/kosmopolitan yang banyak, struktur bangunan dan pengangkutan awam (tertutup/berhawa dingin) dan sebagainya. Hakikatnya manusia TIDAK MAMPU menyekat penyebaran virus dari terus menular.

Setakat ini penawar yang digunakan di hospital-hospital seluruh dunia adalah regimen antiviral seperti Tamiflu dan Relenza, tetapi laporan CDC (Centre for Disease Control) USA, menyebut keberkesanan ubat-ubat ini MASIH DIRAGUI. Bagaimanapun ada desas-desus mengatakan penwar H1N1 akan ditemui pada penghujung tahun ini. Mari kita sama-sama berdoa.


Apa yang kita boleh buat? Ikut sahaja garispanduan dan nasihat yang dikeluarkan oleh kementerian kesihatan, yang paling penting ialah membasuh tangan dengan betul menggunakan sabun.

Berapa lama virus ni boleh bertahan kat open air yer? Katakan seorang pengusaha makanan dah terkena jangkitan ni, lepas tu dia sediakan makanan siap bersin kerrchieeeeuuu lagi kat makanan tu. So, boleh ke aku dapat virus s.?!@#$@# ni jika memakan makanan tu?

Ikut yg telinga aku dengar, virus nie hanya hidup dlm beberapa minit jea di ruang udara persekitaran dgn syarat dia tak dapat cairan badan manusia. Ia tak boleh merebak melalui makanan tetapi jika hingus dia bersin masuk dlm makanan dan kita telan..kemungkinan besar boleh kena.

Aku tanya soalan dlm majlis tu....ramai yg ambil air sembahyang dalam kolah/bekas air yg besar di masjid2. Adakah virus tersebut boleh dipindahkan ke dalam air dan hinggap ke anggota orang yg ambil air sembahyang. Jawapannya aku nampak mcm tak berapa yakin dia jawab tetapi mulutnya berkata air klorin dalam kolah masjid akan membunuh virus tu.

Kesimpulan aku...bercakap, bersin dan batuk adalah cara paling mudah tersebarnya. Jadi biasakan berbual dgn kawan2 dalam jarak 1 meter.


BERHARAPLAH YANG BAIK DARI ALLAH, BILA KAMU MERASA SEDIH, GELISAH ATAU GUNDAH-GULANA. DAN KETAHUILAH BAHAWA IA ADALAH SEBAHAGIAN DARI PENEBUS DOSA.

jika Allah datangkan ujian dan musibah, jangan berburuk sangka padaNya. belajarlah ikhlaskan diri kerana Dia sedang mengajar kita erti kesabaran.

JAGALAH AURATMU WAHAI WANITA



Aurat bahasa Arab yang bermaksud keaiban. Keaiban bererti sesuatu yang perlu ditutupi, di sembunyikan, disorok daripada pandangan dan pengetahuan orang ramai. Dari segi istilah syarak pula, aurat merupakan bahagian daripada anggota badan yang perlu ditutup daripada pandangan mata.

Firman Allah :
“ katakanlah kepada wanita yang beriman,: “ Hendaklah mereka menahan pandangan matanya dan kemaluannya dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya kecuali yang (biasa) nampak daripadanya (muka dan tapak tangan hingga pergelanggan). Dan hendaklah mereka melabuhkan kain tudung kepala menutupi ke dada mereka”
(an-nur : 31)

Dalam mazhab Syafie, ulama bersependapat menyatakan bahawa aurat bagi wanita yang sudah baligh apabila berhadapan dengan lelaki ajnabi (bukan mahram) ialah berpakaian lengkap menutup seluruh tubuhnya kecuali muka dan tapak tangan hingga pergelanggannya.

Islam tidak pernah melarang wanita daripada bercantik-cantik dan berhias. Akan tetapi ada cara dan garisan panduan yang tertentu yang perlu di titik beratkan. Islam agama yang indah dan penuh tertib, tiap perlakukan juga ada tertibnya. Wanita boleh berhias dan bercantik-cantik, namun ia hanya untuk tatapan si suami ataupun apabila bersama mahram. Akan tetapi apabila melangkah keluar dari rumah, ataupun di hadapan lelaki ajnabi, wanita itu perlu menutup auratnya dengan sempurna, iaitu berpakaian longgar, tebal dan labuh serta berhias seadanya, tidak keterlaluan hingga boleh menimbulkan fitnah.

Firman Allah SWT:
“ Wahai anak Adam! Janganlah kamu sesekali dapat ditipu oleh syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibubapa kamu dari syurga, ia menanggalkan dari kedua-dua pakaiannya untuk memperlihatkan kepada kedua-duanya auratnya” (al-A’raf : 27)

daripada ayat ini terbukti syaitanlah yang mengajak kepada tabarruj (bercantik-cantik) dan membuka aurat sehingga jika berpakaian mereka tetap kelihatan seperti bertelanjang. Wanita yang ingin kelihatan cantik, menawan dan memikat semua orang kadangkala tersasar dari hukum dan peraturan menutup aurat :

Pakaian yang menutup aurat adalah :

1. pakaian yang ditutup seluruh anggota tubuh kecuali muka dan kedua tapak tangan sehingga ke pergelanggan tangan.
2. pakaian menutup aurat / jilbab bukan perhiasan
3. kain yang digunakan daripada fabrik tebal dan tidak nipis atau jarang - di mana ianya tidak menampakkan warna kulit dan bayangan tubuh.
4. jilbab / pakaian yang longgar, tidak ketat atau sempit – yang mana tidak menampakkan bentuk susuk tubuh badan
5. tidak memakai wangian sehingga menusuk hidung- cukuplah sekadar untuk menghilangkan bau badan
6. fesyen yang di gayakan tidak menyerupai wanita kafir atau orang jahiliah
7. pakaian tidak menyerupai lelaki
8. pakaian itu tidak bermaksud untuk menunjuk-nunjuk, menarik perhatian atau untuk mempamerkan kecantikan.

Untungnya menutup aurat:

• ianya merupakan satu cara dan hikmah bagi memelihara dan melindungi maruah wanita dan menyelamatkan mereka daripada gangguan manusia yang berniat jahat.
• Ia juga dapat menyembunyikan kecantikan wanita daripada niat jahat
• Ia merupakan kekuatan dalaman untuk menahan diri daripada melakukan dosa dan maksiat

Menutup aurat kerana iman, bukan untuk tujuan bercantik-cantik tetapi patuh dan taat kepada perintah Allah. Penampilan diri dan cara berpakaian turut menggambarkan keimanan dan bagaimana dia patuh dan taat pada perintah Allah, kerana menutup aurat adalah kewajipan bagi seseorang yang mengaku dirinya Islam. Mempamerkan kecantikan yang berlebihan akan membuka ruang kepada gangguan kejahatan manusia dan juga fitnah dunia.

Jika dilihat sekarang, ramai wanita yang berpakaian, akan tetapi bertelanjang. Ramai yang menutup kepala atau dengan kata lain memakai tudung atau jilbab. Tetapi masih mengenakan pakaian yang ketat, singkat hingga menampakan bentuk tubuh badan yang menggiurkan mata memandang. Di manakah silapnya mereka berpakaian ini.
Berpakaian tetapi bertelanjang. Di manakah silapnya. Kadangkala malu rasanya melihat pakaian anak muda sekarang. Terlalu mengikut arus kemodenan ? fesyen terkini ? memakai baju yang sendat, nipis, singkat hinggakan jika salah gaya duduknya, apa yang patut di sembunyikan di sebalik pakaian, di dedahkan. Inikah di namakan menutup aurat ? Jika sekadar menutup kepala atau berjilbab akan tetapi dalam masa yang sama mengenakan jeans yang ketat, baju yang singkat, nipis, sendat di panggil menutup aurat, ini boleh di kategorikan sebagai bahaya. Inilah silapnya pemahaman mereka. Islam agama yang indah. Pasti tiap yang di aturkan adalah bersebab. Mengapa wanita di wajibkan menutup aurat? Menutup aurat dari segi kata yang sebenar-benarnya. Menutup aurat sebagaimana layaknya seorang hamba Allah yang mengaku dirinya beriman pada Allah, yang mengaku taat dan patuh pada perintahNya. Mengapa?

Wanita yang solehah adalah seorang yang pemalu, yang sentiasa menjaga pergaulan, penampilan diri dan yang paling penting sentiasa rasa malu dan mengambil berat pandangan Allah terhadap dirinya. Kasih dan cinta Allah menjadi keutamaannya dalam melakukan sesuatu. Dirinya sentiasa rasa takut jika Kekasih hati murka akan dirinya kerana kesilapan dan kelalaian sendiri. Wanita yang solehah adalah permata yang perlu di jaga, seolah benda berharga yang di letakkan dalam kaca yang tertutup. Ia dijaga, di sembunyikan dan di kawal takut-takut nanti di rosakkan oleh mata-mata jahat yang ingin memusnahkannya. Jika seorang wanita itu mendedahkan kecantikkannya, secara sengaja untuk mempamerkan dan berbangga-bangga dengan kecantikkannya, di manakan letakknya harga sebuah ‘permata’ yang bernilai yang di milikinya. Bila kecantikkannya mudah di pertontonkan pada semua orang, sudah pasti tiada nilai yang berharga lagi, berbanding kecantikan yang di sembunyikan, yang mana hanya yang layak sahaja mampu memilikinya. Nah, yang mana satu lebih tinggi harganya, yang mana satu tiada nilainya. Sudah pasti yang sukar di lihat dan sukar di miliki mempunyai harga yang tinggi. Wahai wanita, jadilah seperti permata yang berada dalam bekas kaca itu. Yang sukar dimiliki, sukar di pegang malah sukar di lihat kerana nilainya dan kerana betapa berharganya dia. Kecantikkan hanyalah pinjamanan dari Sang Pencipta Yang Maha Kuasa..Dia mampu memberi dan juga mampu menarik balik apa yang dipinjamkan kepada kita hamba yang lemah ini. Janganlah riak dan takbur, kerana apa yang kita miliki hanyalah pinjaman sementara cuma. Jagalah ia dengan sebaiknya, itulah tandanya kita bersyukur atas apa yang di pinjamkan olehNya.

Wallahu’alam




“PERHIASANMU BUKANLAH EMAS ATAU PERAK, TETAPI DUA RAKA’AT MENJELANG SUBUH, DAHAGAMU DI TENGAH HARI YANG PANAS KERANA PUASA, DERMA YANG TERSEMBUNYI YANG HANYA DIKETAHUI OLEH ALLAH, AIR MATA TAUBAT, SUJUD PANJANG DI ATAS HAMPARAN SEJADAH DAN MALU KEPADA ALLAH KETIKA TERDORONG BISIKAN NISTA DAN AJAKAN SYAITAN”